fbpx

PRN: Permohonan undi pos dibuka 15 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan membuka permohonan undi pos bermula 15 Jun ini bagi enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan itu dibuka berikutan tarikh jangka hayat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berakhir tidak lama lagi.

Beliau berkata, permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, anggota/pegawai SPR dan petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar Negara) dan Kategori 1C (agensi/organisasi) boleh dibuat secara dalam talian (online) di pautan https://myspr.spr.gov.my.

“Bagaimanapun, bagi anggota polis dan tentera di bawah Kategori 1A, kaedah permohonan undi pos dikekalkan secara manual menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun dari portal https://www.spr.gov.my mulai tarikh sama.

“Borang 1A ini hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya pemohon mengundi selepas mendapat perakuan oleh ketua jabatan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pemilih yang layak dan berhasrat mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos.

Ikmalrudin berkata, SPR menggalakkan pemohonan supaya membuat pendaftaran akaun MySPR di pautan https://myspr.spr.gov.my lebih awal bagi membolehkan mereka segera memohon apabila tempoh permohonan undi pos dibuka kelak.

Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan sebarang masalah sekiranya pendaftaran akaun mySPR ini dibuat pada saat-saat akhir.

“Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A ialah pada tiga hari sebelum Hari Penamaan Calon; Kategori 1B: tiga hari selepas Mesyuarat Khas; dan Kategori 1C: enam hari selepas Mesyuarat Khas.

“Tarikh Mesyuarat Khas Urusan PRN Ke-15 bagi penetapan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam dan luar negara akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Katanya, bagi penghantaran kertas undi pos kepada Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara pula, pihaknya menyeru kepada mereka yang terlibat untuk menghubungi SPR bagi menyemak alamat luar negara yang disimpan dalam rekod SPR.

Jelasnya lagi, pemohon undi pos juga perlu mengemas kini alamat tersebut sekiranya sudah berpindah atau kembali ke Malaysia.

PTH Luar Negara berkenaan boleh menghubungi talian 03-8892 7218 atau e-mel ke [email protected] selewat-lewatnya pada 23 Jun 2023 (Jumaat). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI