KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 September lalu atas 16 pertuduhan pecah amanah berhubung gaji yang diterimanya sewaktu memegang jawatan pengerusi Yayasan Nassar.
Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Zaki Mohd. Salleh ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Meskipun tertuduh dilepas tanpa dibebaskan 16 pertuduhan itu, Mohd. Zaki berkata, ahli politik tersebut masih lagi berdepan 14 lagi pertuduhan melibatkan kesalahan sama.
“Pada 22 September lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh selepas Jabatan Peguam Negara menerima reprsentasi yang dikemukakan tertuduh pada 7 Julai lalu.
“Mahkamah kemudian menetapkan 20 November ini bagi pengurusan kes 14 lagi pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya,” katanya.
Difahamkan, representasi itu berhubung semakan semula terhadap kesemua pertuduhan dan hasil semakan itu, tertuduh dilepas tanpa dibebaskan 16 pertuduhan pecah amanah tersebut.
Pada 22 Oktober tahun lalu, Nasharuddin,58, mengaku tidak bersalah atas 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah sebanyak RM3,677,669.80.
Ia bagi pembayaran gajinya sebagai Pengerusi Yayasan Nassar selama 16 bulan, pembelian hartanah di Bandar Puteri Bangi, kos katering perkahwinan, pinjaman dan yuran pengajian anaknya, akaun peribadi dan pembelian saham serta geran penyelidikan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Jalan Sinar Pagi, Country Heights, Hulu Langat serta di Maybank cawangan Menara FELDA di KLCC antara 2015 hingga 2018.
Bagi kesemua kesalahan itu, Nasharudin didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan. – K! ONLINE