PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat di masjid dan surau diperluaskan kepada satu pertiga daripada kapasiti ruang solat utama di kawasan zon hijau dan zon kuning bermula esok.
Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail berkata, ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.
“JAWI telah membuat ketetapan untuk membenarkan perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat kepada satu pertiga daripada kapasiti ruang solat utama masjid dan surau di zon hijau dan kuning bermula esok.
“Manakala bilangan jemaah solat fardu tidak melebihi 30 orang tertakluk penjarakan fizikal dan keluasan dewan solat masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrayaja dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu katanya, bagi zon merah bilangan jemaah solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang dan solat fardu dihadkan tiga orang.
“Selain daripada itu, jumlah kehadiran dalam majlis akad nikah dibenarkan tidak melebihi 30 orang di zon hijau dan kuning sahaja mengambil kira penjarakan fizikal tertakluk kepada keluasan premis yang telah ditetapkan oleh Jawi.
“Semua ketetapan ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” ujarnya. – K! ONLINE