PRAGUE – Pengendali West Ham, David Moyes mengakui kejayaan meraih trofi pertama selaku pengurus pasukan cukup manis untuk dikenang selepas membantu pasukan menjuarai Liga Konferens Europa dengan menewaskan Fiorentina 2-1 di pentas final awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Arena Eden itu, skuad The Hammers berjaya meraih gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan menerusi jaringan Jarrod Bowen sekali gus menamatkan penantian 43 tahun tanpa sebarang trofi kompetitif.
Lebih menarik, kejayaan itu turut menjadi yang pertama dalam karier Moyes sejak bergelumang dalam arena kejurulatihan sejak 25 tahun lalu.
Pengendali kelahiran Scotland itu berkata, kejayaan itu adalah yang terbaik dalam kariernya kerana bukan mudah untuk mana-mana jurulatih menjulang trofi berprestij khususnya di peringkat Eropah.
“Ini keputusan yang sangat luar biasa dan saya telah mengharungi karier panjang, tetapi bukan senang untuk mengecapi kejayaan seperti ini. Kami gembira apabila dapat melakar kemenangan pada perlawanan final ini.
“Secara peribadi, saya mahu dedikasikan trofi ini kepada keluarga khususnya bapa saya yang telah menyokong karier selama ini dan mereka juga hadir ke Prague untuk melihat detik bersejarah pasukan kami.
“Apa yang pasti, saya harap trofi yang dimenangi ini dapat melonjakkan lagi prestasi pasukan pada musim depan kerana West Ham adalah salah satu kelab terbesar di England.
“Justeru, saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk memacu pasukan ini ke tahap yang lebih jitu nanti,” katanya.
Sementara itu, Bowen yang juga penyerang West Ham mengakui hampir mengalirkan air mata selepas muncul wira pasukan pada aksi final semalam.
“Sudah pasti menjadi impian buat mana-mana pemain menjaringkan gol kemenangan pada aksi final terutama minit-minit akhir. Kali ini menjadi realiti dan saya akan sematkan pengalaman ini sepanjang karier nanti,” katanya. – AGENSI