PETALING JAYA – Syarikat pengurusan penyanyi Ismail Izzani, World Peace Entertainment Sdn. Bhd. tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduh artis naungan mereka itu menghamilkan seorang wanita.
Syarikat berkenaan menegaskan penyanyi itu tiada kaitan langsung dengan isu kehamilan seorang gadis yang tular sejak semalam.
“Kami memandang serius perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terus mengaitkan Ismail Izzani dengan hantaran tersebut.
“Kami berharap fitnah ini dihentikan serta merta dan semoga pemilik akaun TikTok itu dapat menemui jalan penyelesaian sekiranya benar dirinya teraniya seperti yang dinyatakan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Kosmo! Online.
World Peace sedia maklum tentang spekulasi yang bertebaran melibatkan artis naungan mereka sejak semalam.
“Pihak kami ambil maklum mengenai satu isu yang sedang tular sejak dari semalam (Rabu, 7 Jun 2023).
“Sebuah hantaran yang dilakukan pemilik akaun TikTok @HatiBushuk dan @shrimpippy8621p mengenai dirinya yang sedang hamil.
“Dan di ruangan komen, nama artis di bawah naungan kami iaitu Ismail Izzani telah dikaitkan tanpa bukti yang munasabah.
“Setelah meneliti ruangan komen, pemilik akaun TikTok tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa Ismail Izzani bukanlah artis yang dimaksudkan,” tulis kenyataan terbabit.
Sementara itu, daripada jawapan ditinggalkan dalam TikTok @hatibushuk, pemilik akaun itu bagaimanapun mengesahkan penyanyi yang melakukan perbuatan terkutuk itu adalah Ismail.
“Bukan Ismail Izzani,” tulis gadis itu menyatakan akan menutup akaun TikTok miliknya, selain menegaskan kekecohan tentang kehamilannya adalah tidak benar.
Tidak berdiam diri, netizen mengeluarkan telahan bahawa gadis terbabit membuat pusingan ‘u’ kerana telah diugut pihak tertentu.
Terdahulu, susulan kekecohan tersebut dalam laman sosial hingga nama anaknya ‘dipetik’, semalam, ibu penyanyi tersebut, Datin Suliza Salam menafikan anaknya adalah individu yang dimaksudkan wanita ‘misteri’ terbabit.
Akui penyanyi popular era 1990-an itu, dia tidak terkejut berdepan tuduhan tersebut kerana hal sama pernah terjadi sebelum ini. – KOSMO! ONLINE