Selepas berjaya meraih populariti dalam saluran YouTube Jurnal Risa dengan 6.28 juta pengikut dan deretan novel seram, penulis dan penyanyi Risa Saraswati kini melancarkan naskhah yang diangkat daripada pengalamannya sendiri iaitu Jurnal Risa The Series.
Menurut Risa, Jurnal Risa The Series yang mula ditayangkan pada 27 Mei lalu menenerusi laman penstriman Disney+ Hotstar, memaparkan 80 peratus kisah benar yang pernah dilaluinya ketika kecil.
“Siri ini memang diangkat pengalaman saya dan terdapat penambahan serta sedikit perubahan untuk menjadikan karya ini lebih menarik.
“Namun, melihat pada skripnya, hampir 85 peratus ceritanya berasaskan kisah benar.
“Secara peribadi saya memang gembira dan terbawa dengan perasaan nostalgia dapat mengimbaskan kembali kenangan sewaktu kecil bersama sepupu dan rakan-rakan,” ujar Risa.
Tambah Risa, sejak berusia lapan tahun lagi dia sudah mula terjebak dengan perkara-perkara mistik.
“Sebenarnya sejak saya berusia lapan tahun saya sudah mula berkomunikasi dengan makhluk-makhluk ghaib dan saya mahu berkongsi pengalaman ini bersama penonton menerusi Jurnal Risa The Series,” katanya.
Tekanan
Sementara itu, pengarah siri berkenaan, Awi Suryadi yang juga sutradara filem seram popular, KKN Di Desa Penari menjelaskan, selain tekanan untuk memberi hasil yang lebih baik, dia cuba berdepan cabaran bersama barisan pelakon kanak-kanak.
“Filem KKN Di Desa Penari mendapat kejayaan luar biasa dan secara automatik memberi sedikit tekanan untuk saya menghasilkan sebuah karya yang lebih baik.
“Penonton pasti menantikan sesuatu yang berbeza. Cabaran ketika penggambaran pula selain banyak sekatan ketika musim pandemik, kebanyakan pelakon adalah kanak-kanak.
“Adakalanya mereka letih dan kami harus mengikut ‘mood’ mereka,” tutur Awi.
Dalam pada itu, penerbitnya Manoj Punjabi menerusi produksi MD Entertainment yang popular dengan karya seram menegaskan, pihaknya gembira selepas filem KKN Di Desa Penari, kualiti filem seram di Indonesia semakin meningkat.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang penerbit untuk menghasilkan sebuah karya yang memiliki nilai produksi bermutu tinggi.
“Selepas filem KKN Di Desa Penari juga terbitan syarikat kami, karya seram di Indonesia semakin berubah. Jika dahulu, mungkin penonton diberi dengan karya-karya berbajet rendah, tetapi sekarang sudah berbeza.
“Penonton juga mahukan sebuah karya seram yang tidak hanya bagus dari segi penceritaan tetapi nilai produksi yang tinggi. Itu semua memakan bajet yang besar dan saya percaya jika diberi kualiti yang bagus pulangannya juga bagus,” tutur Manoj.
Jurnal Risa The Series mengisahkan pengembaraan Risa bersama sepupu dan rakan-rakannya.
Mereka cuba menyelamatkan salah seorang sahabat daripada cengkaman mahkluk ghaib yang cuba membalas dendam.