BEIJING – Seorang lelaki di China terkejut apabila wanita yang bertemu janji dengannya membawa 23 saudaranya ke restoran semasa mereka berjumpa, lapor laman berita Thaiger semalam.
Lelaki bernama Liu dari wilayah Jilin itu berkenalan dengan Zhang menerusi seorang teman yang kemudiannya mengaturkan pertemuan pertama mereka di sebuah restoran.
Liu bagaimanapun terkejut apabila Zhang tiba dengan 23 ahli keluarganya, namun lelaki itu memilih untuk bersikap mesra dan bertemu dengan mereka.
Bagaimanapun, ketika bertanyakan mengenai bil, Liu terkejut apabila semua hidangan yang dipesan berjumlah 20,000 yuan (RM12,950).
Kakitangan restoran memberitahu Liu bil itu tinggi disebabkan keluarga Zhang memesan rokok mahal dan minuman alkohol berkualiti tinggi.
Liu tidak mampu membayar bil itu lalu memilih untuk meninggalkan restoran tersebut.
Disebabkan itu, Zhang terpaksa membayar sendiri semua bil, namun berharap agar Liu membayar separuh daripadanya.
Liu bagaimanapun bersetuju membayar hanya 4,000 yuan (RM2,590) dan tindakan itu menimbulkan kemarahan saudara-mara Zhang yang bertindak menyamannya di mahkamah.
Mahkamah kemudian memutuskan bahawa Liu hanya perlu membayar hidangan yang dimakannya dan Zhang yang berjumlah 1,400 yuan (RM906). – Agensi