fbpx

Alisya tak tumpang populariti kakak, abang ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALISYA ingin membina nama dalam dunia seni sebagai seorang pelakon tanpa bersandarkan populariti kakak, Hanis Zalikha.

NEPOTISME bukan lagi amalan asing dalam industri seni apabila ramai selebriti berjaya menggunakan pengaruh dan latar belakang keluarga sebagai tiket mudah meraih peluang menjual bakat.

Mengakui situasi tersebut ada betulnya, adik kepada pelakon Hanis Zalikha, Alisya bagaimanapun enggan menggunakan jalan pintas untuk mencipta nama dalam industri.

Sudah 10 tahun berusaha menempatkan diri dalam bidang lakonan, pelakon berusia 22 tahun itu enggan berputus asa menunggu masa sesuai untuk bersinar.

“Ramai tidak tahu saya sebenarnya sukakan lakonan dan sejak kecil saya sudah mula pergi uji bakat lakonan.

“Dalam masa 10 tahun ke uji bakat lakonan, peluang saya dalam bidang ini masih kurang memberangsangkan,” kata pemilik nama lengkap Nur Sarah Alisya Rashid itu.

Kakak, abang ipar

Meskipun namanya masih asing, namun Alisya tetap menyifatkan apa sahaja miliknya, terutama mempunyai seorang kakak bernama Hanis Zalikha dan abang ipar, Hairul Azreen yang bergelar selebriti popular, setidak-tidaknya menjadi satu kelebihan buat dirinya.

ALISYA tidak percaya akan budaya nepotisme dan yakin dengan usaha sendiri untuk membina nama sebagai anak seni.

“Saya tidak menafikan apabila ada orang cakap saya menumpang populariti mereka dan anggap sebagai keistimewaan.

“Ramai orang lain yang ingin berlakon harus mula dari bawah tetapi saya beruntung dapat unsur nepotisme daripada mereka.

“Memang betul saya dapat pengaruh dan pengikut di laman sosial disebabkan mereka tetapi saya juga perlu bersaing cuba menjadi terbaik menggunakan bakat untuk kekal dalam industri ini,” jelasnya.

Alisya juga bertegas, Hanis dan Hairul tidak pernah campur tangan dalam kerjaya lakonan dan banyak memberikan sokongan kepadanya.

“Mengenai kakak dan abang ipar, ramai orang menyangka bahawa mereka akan bantu dari tunjuk ajar atau apa sahaja.

“Padahal, saya hanya buat semua perkara dengan sendiri kerana mereka mahu melepaskan saya untuk belajar dan bergerak sendiri.

“Mereka cuma pesan untuk menghargai momen bersama pelakon-pelakon lain semasa penggambaran kerana waktu tersebut sahaja kami berkumpul,” ujarnya.

Journal Sarahaeyo

Bercakap mengenai karier lakonan, Alisya kini terlibat dalam sebuah drama Viu berjudul Journal Sarahaeyo iaitu sebuah karya romantik komedi yang dibintangi oleh Arena Wan, Alvin Chong, Aniq Suhair, Adriana Adnan dan Andi Bernadee.

Memegang watak sebagai Layla iaitu kawan baik kepada pelakon utama, Alisya merasakan karakter Layla sama seperti dirinya.

Cabaran untuk menggalas tanggungjawab Layla dirasai apabila ingin membezakan antara diri dan wataknya.

“Sebenarnya watak Layla ini sama dengan karakter diri saya tetapi cabaran utamanya adalah untuk mencipta jarak antara kedua-dua ini.

“Saya tidak mahu memikirkan tentang diri sendiri apabila melakonkan watak ini.

“Jadi apa yang perlu dilakukan mencipta kelainan untuk membezakan siapa Alisya dan Layla,” tutupnya.

Episod pertama Journal Sarahaeyo sudah mula ditayangkan dalam aplikasi Viu sejak 19 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI