GUA MUSANG – Berdepan masalah rabun mata kiri tidak menghalang seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Gua Musang di sini untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Nurul Izatul Husna Ismaliah, 18, yang dikesan mengalami gejala mata malas sejak berusia tiga tahun tidak menjadikan masalah penglihatan sebagai alasan untuk dirinya berjaya.
Menurutnya, dia hanya menggunakan sebelah mata kanannya yang dapat berfungsi dengan baik untuk melihat dan belajar.
Katanya, sebelah mata kirinya pula hanya kabur meskipun menggunakan kanta lekap.
“Saya hanya menggunakan sebelah mata kanan dan tetap mampu belajar dengan baik selain menerima setiap ilmu yang diberikan oleh guru.
“Meskipun hanya bergantung kepada mata kanan, saya boleh fokus ketika belajar. Kekurangan itu tidak menjadi penghalang buat saya untuk berusaha mengejar cita-cita sebagai seorang pensyarah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima keputusan SPM di Sekolah Menengah Sains Gua Musang di sini hari ini.
Nurul Izatul Husna memberitahu, dia memperuntukan masa tiga jam setiap untuk belajar selain menerima tunjuk ajar guru sepanjang proses pembelajaran di sekolah.
Katanya, dia juga akan berdoa dan membaca ayat kursi sebelum tidur supaya Allah SWT memudahkan urusan dan memberikan kejayaan buat dirinya.
Sementara itu, bapanya, Ismaliah Abd. Rahman, 45, dan ibunya, Ainon Latiff, 45, berbangga dengan anak sulung daripada lima beradik itu mengalami masalah mata, namun tetap mempunyai kelebihan apabila mudah mengingati sesuatu perkara.
Ismaliah berkata, di sebalik kekurangan Nurul Izatul Husna, ada kelebihan lain yang Allah SWT berikan kepada anaknya.
“Dia mudah mengingati sesuatu perkara dan sangat minat untuk belajar sejak daripada kecil. Semasa memduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), dia juga mendapat keputusan 5A.
“Sebagai seorang bapa, saya sangat berbangga dan semoga dia menjadi contoh kepada adik beradiknya yang lain. Kami tidak menjangka Nurul Izatul Husna memperoleh keputusan tersebut dan berharap cita-citanya tercapai termasuk untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE