PETALING JAYA – Pelakon Zul Yahya bakal membuka sebuah pasar raya bertempat Bandar Meru Jaya, Ipoh, Perak dalam usaha untuk memperkasakan lagi produk keluaran Muslim.
Dalam satu perkongsian yang dimuat naik pelakon tersebut menerusi Instagram @zulyahyamart, aktor yang pernah membintangi filem MX3 itu turut menguar-uarkan peluang pekerjaan yang ditawarkan di pasarayanya.
“Alhamdulillah semoga dipermudahkan urusan. Pengubahsuaian sedang dijalankan.
“Berminat untuk menjadi sebahagian familymart ini? Peluang pekerjaan ada banyak di sini. Kita kongsi rezeki bersama-sama kerana rezeki tidak pernah salah alamat, insya-Allah,” ujarnya.
Zul Yahya atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya, 47, turut mencari pembekal produk Industri Kecil Sederhana (IKS), produk Muslim, barangan runcit, barangan basah, produk viral dan produk-produk bersesuaian yang boleh dijual dalam Zul Yahya Mart nanti.
Pelakon yang kini bergerak sebagai penceramah bebas itu turut meluahkan keinginannya untuk membuka pasaraya bukan rezeki yang hanya datang bergolek.
“Perniagaan memerlukan usaha, tawakal dan doa yang tidak pernah putus.
“Kami belum baik, baru belajar korbankan sikit-sikit untuk perkara baik. Doakan kami semoga dapat mendidik diri dan keluarga digerakkan agar sentiasa korbankan diri, masa dan harta untuk agama,” katanya.
Terdahulu, sekitar bulan Mei lalu, pelakon tersebut telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa orang pemain industri termasuk selebriti apabila mereka diseru untuk meninggalkan dunia hiburan dan beralih ke bidang yang lebih memberikan keberkatan.
Bagaimanapun, selebriti itu dalam kenyataannya kepada media memberitahu, dia tidak berniat untuk mempersoalkan rezeki orang lain dan bercerita tentang pengalaman hidupnya selepas berkecimpung dalam industri selama lebih 20 tahun. – K! ONLINE