PETALING JAYA – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Sabah berkuat kuasa esok sehingga 19 November depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, saringan Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 440 kes positif Covid-19 melibatkan tahanan dan staf di pusat tahanan tersebut.
“Atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dijalankan oleh KKM, sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Tawau berkuat kuasa 6 sehingga 19 November 2020.
“PKPD ini akan melibatkan 1,707 inidividu yang terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan,” katanya pada sidang akhbar yabng disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan secara bersasar kepada tahanan dan kakitangan di pusat tahanan sementara ini.
“Prosedur operasi standard PKPD ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara atau pusat tahanan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk larangan keluar masuk daripada kawasan ini dan lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan SOP ini boleh dirujuk laman sesawang MKN,” katanya. – K! ONLINE