SEBERANG PERAI – Kecacatan fizikal yang dialami sejak lahir bukan penghalang buat Nur Farrisha Hashim,18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan hari ini.
Calon istimewa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin dekat sini sebaliknya berjaya membuktikan kemampuannya dalam pelajaran apabila memperoleh 8A iaitu 2A+, 3A dan 3A-.
Menurutnya, pergerakannya yang terhad susulan terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang masa tidak mematahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Selalunya setiap kali balik dari sekolah, saya akan menyiapkan kerja sekolah sambil mengulangkaji pelajaran.
“Selain itu, saya mengikuti setiap kelas tambahan yang dijadualkan malah kawan-kawan juga akan berkongsi nota sekiranya saya tidak hadir kerana perlu ke hospital untuk rawatan susulan.
“Kalau diikutkan, saya jangkakan mungkin hanya akan memperolehi 3A, namun peraturan Allah SWT lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, bapanya, Hashim Ishak,70 bekerja sebagai pekerja pembersihan manakala ibunya, Wan Siah Yusoff,65 bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.
“Saya amat bersyukur kerana ibu dan bapa banyak berkorban untuk memastikan saya dapat belajar dengan selesa dan keputusan cemerlang ini adalah hadiah khas buat mereka.
“Tidak terkira pengorbanan yang mereka lakukan demi saya termasuklah menghantar saya ke sekolah setiap hari dan kadangkala ibu akan hantar bekal ketika saya ada kelas tambahan.
“Selepas ini, saya berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang seni atau animasi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE