KUALA TERENGGANU – Kekurangan diri sebagai insan cacat penglihatan tidak menjadi halangan buat Khairulanwar Zakaria, 19, cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar itu tersebut memperoleh 5A+ dan 2A sekali gus muncul antara calon SPM terbaik Terengganu.
Anak bongsu daripada empat beradik tersebut berkata, dia sebenarnya dilahirkan normal sebelum tiba-tiba kehilangan deria penglihatan pada usia 13 tahun.
“Bahagian korteks otak saya bermasalah menyebabkan kedua-dua mata saya buta. Saya akui patah hati dan tidak bersemangat untuk belajar pada masa itu kerana merasakan masa depan sudah gelap.
“Begitupun, perkongsian beberapa insan senasib (cacat penglihatan) yang cemerlang dalam hidup selain sokongan keluarga menaikkan semula semangat saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Khairulanwar berkata, dia bersungguh-sungguh mempelajari tulisan Braille sehingga berjaya menguasainya dalam tempoh setahun sewaktu berumur 14 tahun.
Tambahnya, dia juga mendengar video pembelajaran di laman YouTube bagi menambahkan lagi pemahamannya dalam pelajaran.
“Saya bercita-cita untuk menjadi guru Pendidikan Khas bagi mendidik insan OKU lain menyerlahkan potensi masing-masing.
“Sehubungan itu, saya merancang melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras,” katanya. – KOSMO! ONLINE
“Saya bertuah kerana mempunyai rakan sebaya yang banyak mendorong dan membantu dalam pelajaran.
“Kami mengulang kaji pelajaran bersama-sama termasuk secara online,” katanya. – KOSMO! ONLINE