PUTRAJAYA – Malaysia dan Indonesia sepakat membentuk satu mekanisme khusus bagi menyelesaikan isu pekerja migran di negara ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata beliau menghargai komitmen diberikan kerajaan Malayisa yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melindungi pekerja dari negaranya itu.
“Mengenai perlindungan pekerja migran Indonesia, saya sangat menghargai komitmen Anwar untuk memperkuatkan perlindungan dan undang-undang yang adil kepada pekerja Indonesia.
“Berikutan itu, saya dan Anwar sepakat untuk membentuk mekanisme khusus bilateral (dua hala) bagi menyelesaikan masalah migran Indonesia,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Seri Perdana sempena lawat kerjanya ke Malaysia.
Selain itu, beliau juga meminta agar segara diwujudkan sebuah pusat pembelajaran komuniti dan warga negara Indonesia yang ditahan di Depoh Imigresen.
Joko Widodo turut menambah, Malaysia dan Indonesia untuk terus memperkuat kerjasama sedia ada dalam memastikan keluaran komoditi kedua-dua negara tidak dipandang enteng oleh negara luar.
“Saya sangat hargai baru-baru ini Indonesia dan Malaysia menjalinkan kerjasama untuk melawan diskriminasi kelapa sawit dan komoditi lain.
“Kerjasama seumpama ini harus diperkuatkan, jangan sampai hasil komoditi oleh kedua-dua negara didiskriminasi oleh negara lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Joko Widodo juga turut menzahirkan rasa syukur selepas rundingan Laut Sulawesi Selatan dapat diselesaikan setelah 18 tahun berlarutan.
“Setelah 18 tahun (akhirnya) boleh diselesaikan…Alhamdulillah.
“Saya berharap rundingan di perbatasan lain termasuk Pulau Sebatik dan lain dapat segera diselesaikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE