KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menubuhkan panel siasatan dalaman untuk menyiasat kes penyebaran dokumen sulit syarikat milik kerajaan negeri itu sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, setakat ini, AKSB masih belum dapat mengesan individu yang terbabit dalam penyebaran dokumen berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri seboleh-bolehnya tidak mahu memperbesarkan perkara tersebut, namun tindakan perlu diambil kerana ia melibatkan kebocoran dokumen sulit.
“Jadi, saya minta maaf sekiranya ada dalam kalangan kakitangan AKSB dikenakan tindakan selepas ini. Perkara tersebut melibatkan maruah kakitangan AKSB termasuk saya selaku Pengerusi, Timbalan Pengerusi AKSB, Abdul Rahman Yunus dan Pengurus Besar AKSB, Dr. Nazmi Ghazali Azmi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau projek penggantian paip AKSB di Pasir Tumboh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azami memberitahu, pihak AKSB sudah membuat satu laporan polis dibuat berkaitan kebocoran dan penyebaran dokumen sulit kerajaan baru-baru ini.
Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dan tidak mahu memberi sebarang komen lanjut mengenai perkara tersebut.
“Saya yakin perkara berkenaan tidak membabitkan keseluruhan kakitangan AKSB, namun sikap berjaga-jaga perlu diambil selepas kejadian itu
“Perkara tersebut mungkin dilakukan oleh satu atau dua individu sahaja, tetapi jika dokumen sulit boleh dibawa keluar, bermakna AKSB perlu menasihatkan semua kakitangan agar sentiasa patuh kepada majikan,” katanya.– KOSMO! ONLINE