PUCHONG – Penempatan haram yang dibangunkan sekumpulan warga Indonesia dan Bangladesh dilengkapi ladang sayur-sayuran seluas kira-kira 1.6 hektar terbongkar dalam satu serbuan di Pulau Meranti, di sini, awal pagi tadi.
Operasi yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lokasi mendapati, penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut lengkap dengan surau dan tempat pengumpulan sayur sebelum dijual kepada pembekal.
Wartawan Kosmo! ketika mengikuti serbuan tersebut pada pukul 1.30 pagi turut menyaksikan penempatan haram itu lengkap dengan sistem saluran air untuk mengusahakan kebun dan set generator sebagai sumber elektrik.
Namun begitu, perjalanan masuk ke lokasi yang hampir 1 kilometer daripada jalan utama itu turut berlaku kesukaran apabila jalan raya yang gelap serta berlopak sukar diakses oleh orang ramai.
Difahamkan, setiap plot tanah yang diusahakan akan dibahagikan mengikut warga negara dan mereka tidak mengusahakannya bersama-sama.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung aktiviti penanaman sayur yang membabitkan warga asing secara haram.
Ujar beliau, pemeriksaan anggota Imigresen Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Kuala Lumpur berjaya menahan 22 warga asing dalam satu jam operasi dilakukan.
“Tangkapan tersebut terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita warga Indonesia selain lima lelaki warga Bangladesh.
“Bagaimanapun, kebanyakan rumah adalah penginapan sementara sahaja, kita percaya tempat ini hanya transit dan mereka mempunyai tempat penginapan yang lain,” katanya dalam sidang akhbar serbuan penempatan haram, di Pulau Meranti, di sini, awal pagi tadi.
Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi juga mendapati tanah subur menyebabkan tanah tersebut menjadi tarikan untuk mengusahan tanaman.
“Ada sayuran Bendi, Bayam, Lobak dan mungkin banyak lagi. Terdapat satu rumah dijadikan pusat pengumpulan sayur dilengkapi alat penimbang besar untuk pemborong ambil (sayur).
“Penempatan tersebut turut memiliki surau berkapasiti 30 orang dibuat menggunakan lebihan kayu binaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ruslin memaklumkan pemeriksaan dilakukan terhadap warga asing yang ditahan membabitkan kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen yang sah.
“Walaupun hanya 22 sahaja yang ditahan, ini adalah satu kejayaan apabila sesuatu aduan yang dibuat dan kita mendapatkan hasil tangkapan itu.
“JIM akan melakukan semakan dengan pihak PBT berhubung siapa pemilik tanah terbabit serta pemantauan secara lebih kerap di lokasi.
Ruslin memberitahu, Kesemua Pati yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Selangor untuk semakan saringan akhir bagi dimuktamadkan sebelum laporan polis dibuat.
Menurut beliau, kesemua mereka dipercayai telah melanggar perundangan Imigresen (Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963).-KOSMO! ONLINE