SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi Jaminan bekalan makanan dan barang keperluan lain di daerah Seremban mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan membuat pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan harian di kesemua sembilan mukim daerah Seremban.
“Bekalan barangan keperluan harian terutama makanan dijamin mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB di daerah ini bermula hari ini sehingga 18 November 2020.
“Kita dapati pengguna di daerah Seremban ini matang dan setakat ini belum ada laporan berlaku pembelian panik atau terputus bekalan makanan, semuanya terkawal ,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan barang keperluan harian di sebuah pasar raya di Sikamat di sini hari ini.
Menurut Ain Arjuna, pihak pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit yang terlibat di dalam pembekalan makanan dan barangan keperluan utama di negeri ini juga diingatkan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Pengguna juga dinasihatkan membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak menyimpan stok berlebihan. Saya juga ingin sarankan supaya membuat pembelian secara dalam talian sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan pergerakan fizikal di premis perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac hingga 4 November 2020 sebanyak 32,213 premis telah diperiksa melibatkan daerah Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 870 aduan diterima oleh KPDNHEP Negeri Sembilan di tiga daerah tersebut iaitu 696 aduan di Seremban, 98 aduan di Port Dickson dan 76 aduan di Kuala Pilah.
“Daripada jumlah itu, aduan berkenaan transaksi atas talian mencatatkan jumlah tertinggi dengan 288 aduan diikuti pematuhan harga ( 277 aduan), perkhidmatan mengelirukan (91 aduan), timbang dan sukat (33 aduan) dan barang kawalan (32 aduan),” katanya. – K! ONLINE