TAPAH – Polis mengesahkan menerima laporan daripada lelaki yang ditangkap selepas mengasari seorang pemandu wanita dalam kejadian berhampiran Lata Iskandar di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Serdang, semalam.
“Berdasarkan laporan dibuat lelaki itu, dia mendakwa pemandu wanita cuba memotong keretanya namun gagal ekoran ada kenderaan lain di hadapan.
“Menurut lelaki terbabit, kereta dipandu wanita itu kemudian masuk semula ke laluannya hingga menyebabkan hampir bergesel dengan kereta Proton Persona dipandu lelaki itu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan polis.
“Mereka boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097,” katanya.
Terdahulu, lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang yang ditangkap semalam direman tiga hari Mahkamah Majistret Tapah mulai hari ini sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Lelaki tersebut ditahan ekoran laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun itu di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.
Berdasarkan rakaman video tular berdurasi 59 saat itu, lelaki terbabit dilihat turun dari kereta Proton Persona dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bertindak memukul kepala mangsa.
Difahamkan, kejadian berlaku kelmarin pada pukul 5.33 petang ketika mangsa dan adik lelakinya berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah. – KOSMO! ONLINE