PETALING JAYA – Operasi di Pelabuhan Utara tidak terjejas walaupun 10 buah kontena mengandungi bahan mudah terbakar musnah dalam kebakaran, pagi tadi.
Bahagian Komunikasi Korporat Pelabuhan Utara menerusi kenyataan hari ini berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.40 pagi oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Utara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Klang.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat kejadian itu.
“Kami ingin memaklumkan semua pelanggan dan pengguna pelabuhan kami bahawa operasi pelabuhan tidak terjejas oleh insiden itu. Memandangkan siasatan sedang dijalankan, kami tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat.
“Pasukan kami sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa dan pakar untuk memastikan langkah keselamatan diperkukuh serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan sebarang potensi risiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semua pihak digesa untuk mengelak daripada membuat sebarang spekulasi yang tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 35 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10.14 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sebanyak sembilan buah balai bomba dan penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi pemadaman itu melibatkan Pelabuhan Klang, Andalas, Sungai Pinang, Kota Raja, Shah Alam, Petaling Jaya, Kota Anggerik, Cyberjaya dan Serdang.
“Kebakaran melibatkan 10 buah kontena mengandungi aerosol dengan pengasingan kontena turut dilakukan bagi mengelakkan kebakaran lebih besar,” katanya. KOSMO! ONLINE