fbpx

K2

Sertu singki basuhan rantai kunci kulit babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KULIT khinzir adalah najis dan ia tidak boleh disucikan walaupun disamak. – Gambar hiasan

Saya pernah membasuh keychain kulit khinzir di dalam singki rumah. Ketika itu, saya tidak tahu bahawa keychain tersebut adalah daripada kulit khinzir. Setelah lama baru tahu, saya sudah sertu tangan dan sebagainya, adakah singki tempat saya basuh keychain itu perlu disertu juga.

JAWAPAN: Ulama telah berijma’ bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. Kesemua bahagian khinzir sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 1, hlm. 302].
Rasulullah SAW bersabda: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”. (Riwayat Muslim, 279 dan Ahmad, 9511)

Hadis ini dinaskan kepada anjing yang semisal dengannya juga ialah khinzir bahkan khinzir adalah lebih kuat kenajisannya. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, jil. 1, hlm. 46]

Samak adalah satu proses di mana kulit haiwan disucikan dan dibersihkan yang pada asalnya adalah najis.

Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda:

“Jika disamak kulit maka ia menjadi bersih.” [Riwayat Muslim (838)]

Di dalam satu riwayat, Ibnu Abbas pernah menyebut:
“Sesungguhnya Rasulullah pernah melalui satu kawasan yang mana ada seekor kambing yang dibuang. Ia diberikan oleh hamba kepada Maimunah yang diperoleh daripada sedekah. Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu tidak mahu mengambil kulitnya. Kemudian mereka menyamak kulit tersebut dan mengambil manfaat daripadanya.”
Jumhur ulama bersepakat bahawa kulit haiwan yang dagingnya halal dimakan adalah suci sebelum dan selepas di sembelih. Sama ada disamak atau tidak ia tetap suci. Seperti contoh, lembu, unta, kambing dan lain-lain.

Para fuqaha’ bersepakat bahawa kulit khinzir adalah najis dan tidak boleh disucikan dengan samak serta tidak boleh diambil manfaat daripadanya kecuali dalam beberapa keadaan darurat dan hajat. [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil. 20, hlm. 34]

Kata Imam al-Nawawi:
“Setiap daripada kulit haiwan yang menjadi najis disebabkan mati (iaitu bangkai) boleh disucikan dengan samak. Kecuali khinzir dan anjing atau apa yang lahir dari kedua-duanya. Inilah yang disepakati dalam mazhab kami.” [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil 4, hlm.382]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan perbincangan di atas adalah difahami bahawa khinzir adalah najis secara keseluruhan bahagiannya.

Maka kulit khinzir juga adalah najis dan ia tidak boleh disucikan walaupun disamak. Justeru, wajib menyertu singki yang telah terkena air basuhan keychain kulit khinzir tersebut.

Ada pun alatan masakan yang telah dimasukkan ke dalam singki tersebut memadai dibasuh seperti biasa dengan air mutlak tanpa disertu kerana tidak dapat dipastikan mengenai perpindahan najis ke atasnya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI