TELUK INTAN – Polis menahan tiga lelaki setelah didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Maharajalela di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 27, 44 dan 52 tahun itu ditahan dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi.
Katanya, dalam operasi selama tiga jam itu, ketiga-tiga lelaki terbabit gagal dalam ujian saringan pernafasan yang dijalankan.
“Sebanyak 20 kenderaan diperiksa dalam operasi itu dan polis menahan tiga lelaki selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Bagaimanapun mereka memberikan alasan hanya minum (minuman keras) sedikit saja,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Katanya, kesemua mereka dibawa ke balai untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, operasi tersebut dijalankan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan pesalah jalan raya dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka sekiranya di dapati bersalah mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – K! ONLINE.