SEBERANG PERAI – Ahli keluarga Muhammad Hawari Hashim bersedia dengan apa sahaja kemungkinan susulan misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) itu yang terpaksa ditamatkan ekoran masalah dron.
Ibunya, Che Tom Hassan,64, berkata, beliau reda dengan segala keputusan meskipun amat berat untuk diterimanya.
“Saya dah bersedia, semua keluarga dah bersedia, saya reda. Sebenarnya, memang berat untuk cakap, kerana kami semua tahu operasi dihentikan semalam ditambah dengan faktor cuaca kurang baik.
“Namun jauh di sudut hati, saya masih mengharapkan Warie (nama panggilan keluarga) dapat kembali dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Tom memberitahu, anak bongsunya, Muhammad Ismail,28, dan menantunya, Mohamad Azhar Ilias, 35, bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad akan bertolak ke Nepal malam esok bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung Muhammad Hawari.
“Sekurang-kurangnya apabila ada wakil keluarga ke sana, dapatlah kami akan maklumat lengkap berhubung operasi SAR Warie, kami semua memang gelisah selepas mengetahui operasi ditamatkan semalam dan besarlah harapan saya sekiranya misi mencari dapat diteruskan jika boleh“, katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor yang berkunjung dan bertanya khabar. – KOSMO! ONLINE