PETALING JAYA – Pelawak solo dari negara jiran, Jocelyn Chia menutup ruangan komen apabila Instagramnya diserang pengguna media sosial gara-gara jenaka sensitif dan keterlaluan.
Video persembahan komedi yang berdurasi satu minit 29 saat tersebut kini telah menerima 1,420 tanda suka dan 307 komen di Instagram.
Dalam video yang bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ itu, Jocelyn telah membuat beberapa jenaka keterlaluan, salah satunya mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370, yang didakwa ‘tidak mendarat’ dengan mimik muka mengejek.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia rasa marah dan tersinggung dengan tindakan Jocelyn yang menjadikan isu sensitif sebagai bahan lawak jenaka.
“Tragedi bukan bahan jenaka, ” tegas seorang pengguna Instagram yang dikenali sebagai suhvrv86.
“Negara Dunia Pertama, tetapi perangai sampah. Tak kelakar langsung buat lawak mengenai tragedi MH370. Jika kamu salah seorang keluarga mangsa tentu kamu tak buat lawak begitu,” kata Asyah.
“Tak lawak langsung. Dah tak ada modal sangat ke sampai nak perlekehkan negara orang,” kata Eymal pula.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang permohonan maaf daripada pelawak berkenaan. – KOSMO! ONLINE