KUALA NERUS – Pemain industri batik blok memohon campur tangan kerajaan untuk membantu mereka bagi meneruskan perjuangan menghidupkan seni tekstil tradisional terbabit.
Pengusaha batik blok, Hassan Abdullah, 50, berkata, kerajaan dicadangkan untuk menawarkan sedikit subsidi bagi membantu mereka menangani kos bahan mentah yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.
“Beri subsidi kepada pengusaha batik blok berdaftar untuk membeli bahan mentah seperti kain putih, lilin, pewarna bagi meringankan beban kami.
“Ia penting bagi membolehkan kami terus bertahan sekaligus terus memulihara seni tekstil ini daripada terus pupus,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, kerajaan juga boleh membantu kelangsungan industri batik blok dengan menggalakkan penglibatan generasi muda menerusi program mentor-mentee.
Jelas beliau, generasi muda kurang tertarik untuk terlibat dalam perusahaan batik kerana mendakwa gaji yang ditawarkan tidak lumayan selain tidak menjanjikan masa depan.
“Bagi menarik minat golongan muda, gaji berbaloi boleh ditawarkan menerusi program subsidi upah oleh kerajaan,” katanya.
Bagi Norazizah Kassim, 43, pula, beliau mengakui insiatiaf kerajaan amat diperlukan bagi membantu pemain industri batik blok bersaing dengan pengusaha batik komersial lain.
“Pada masa sama, saya menyeru rakan pengusaha batik blok agar menyiapkan diri bersaing dalam landskap perniagaan moden masa kini.
“Sekurang-kurangnya lengkap-kan diri dengan ilmu pemasaran digital dengan memanfaatkan media sosial bagi tujuan menarik pelanggan,” katanya.