PETALING JAYA – Pelakon Eyka Farhana mencuri perhatian ramai apabila berkongsi momen sepanjang empat tahun menjalin hubungan cinta dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.
Momen manis tersebut dimuat naik pemilik nama penuh Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu menerusi sebuah video trend langgar bahu yang menjadi ikutan ramai dalam TikTok ketika ini.
“1,580 hari,” tulis Eyka, 28, ringkas pada ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya menitipkan doa agar pasangan itu mendirikan rumah tangga segera.
“Jarang Eyka nak kongsi tentang Akhyar, cepat kahwin okey.
“Mereka sangat secocok bersama,” komen netizen.
Sejak tahun 2020, Eyka dilihat semakin kerap berkongsi foto dan videonya bersama pemain bola sepak berusia 24 tahun itu dalam akaun media sosial sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan netizen.
Sehingga hari ini, pelakon drama Melur Untuk Firdaus 2 itu tidak pernah mengumumkan secara rasmi hubungannya dengan kekasih hatinya kepada umum.
Malah, dia hanya membiarkan orang ramai membuat spekulasi sendiri mengenai hal tersebut. – KOSMO! ONLINE