TAMPIN – Lokasi pemujaan kaki nombor ekor di kawasan Hutan Simpan Gunung Tampin dekat sini akan dibersihkan dalam masa terdekat.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan berkenaan bagi memastikan lokasi hutan simpan tidak dicemari dengan aktiviti kurang sesuai oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kes seumpama itu yang berlaku di kawasan hutan simpan di negeri ini baru pertama kali diterima pihaknya dan beliau memandang serius mengenai aduan berkenaan.
“Kita akan ambil tindakan. Pihak jabatan akan bersihkan lokasi berkenaan dalam masa terdekat.
“Malah, kita nasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti seumpama ini kerana mereka boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya, dekat sini, tadi.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kaki nombor ekor menjadikan batu keramat berkenaan sebagai lokasi pemujaan bagi mendapat ilham melalui mimpi atau gerak hati bagi mendapatkan nombor bertuah.
Aktiviti berkenaan dipercayai sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya dan masih lagi dikunjungi oleh kaki nombor ekor. – K! ONLINE.