fbpx

Tuntutan Kumpulan Sulu ditolak Mahkamah Rayuan Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan Perancis mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada Kumpulan Sulu sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan waris Sulu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan diputuskan itu menyebabkan pihak terbabit tidak lagi bergantung kepada keputusan salah yang dibuat di Perancis pada Februari 2022.

Katanya, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.

“Ini merupakan keputusan muktamad dan utama yang mana ia kemenangan untuk Malaysia menegakkan undang-undang hingga menyebabkan kekalahan kepada pihak penuntut serta pembiaya mereka.

“Salah satu langkah kasar dilakukan penuntut menerusi ‘Partial Award’ itu adalah menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian kedutaan).

“Malaysia juga memerangi tindakan itu melalui dasar kekebalan diplomatik. Jadi, pihak penuntut perlu menarik balik tindakan susulan keputusan di Perancis yang tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azalina, keputusan Mahkamah Rayuan Paris turut membolehkan ‘Final Award’ berjumlah hampir AS$15 bilion (RM69 bilion) diputuskan oleh Stampa bagi diberikan kepada pihak penuntut dibatalkan.

Katanya, Malaysia sedang berusaha supaya pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secara secepat mungkin.

“Stampa memberikan ‘Final Award’ meskipun pelantikannya sudah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol, ia atas dasar Malaysia tidak dirujuk terlebih dahulu dalam pelantikannya.

“Berbanding menurut arahan mahkamah Sepanyol untuk berhenti bertindak sebagai penimbang tara, Stampa memindahkan langkah timbang tara itu ke Perancis dan seterusnya mengeluarkan ‘Final Award’.

“Beliau melanggar perintah mahkamah Sepanyol dan mengakibatkan penyalahgunaan ketara terhadap proses timbang tara antarabangsa,” ujarnya.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris dilaporkan menolak tuntutan Kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan ‘Final Award’ seperti dimohon Malaysia bagi mengetepikan perkara itu.

Dalam penghakimannya itu, Mahkamah Rayuan Paris menyatakan tuntutan yang difailkan Kumpulan Sulu sebagai pihak yang menuntut itu tidak boleh diterima.

Oleh itu, keputusan diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 untuk menangguhkan penguatkuasaan Final Award itu kekal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI