JOHOR BAHRU – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor baharu, Siti Rohani Nadir bertekad menyelesaikan isu kekurangan melibatkan seramai 141 pegawai dan anggota bomba di negeri ini.
Beliau yang memulakan tugas itu secara rasmi bermula semalam turut mahu mengatasi isu kekurangan sebanyak 54 buah jentera memadam kebakaran.
Katanya, kekurangan anggota dan jentera tersebut melibatkan sejumlah 33 buah Balai Bomba dan Penyelamat yang terdapat di seluruh Johor.
“Soal kekurangan anggota, kita faham ia tidak dapat diatasi dalam masa singkat dan perlukan perancangan rapi melibatkan bomba ibu pejabat, namun saya berharap isu itu dapat diatasi secara berperingkat.
“Difahamkan, akan ada pengambilan baharu pada hujung tahun ini tetapi berapa ramai jumlahnya itu perlu bergantung kepada pusat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ketibaan Pengarah JBPM Johor, di sini hari ini.
Tambah Siti Rohani, pihaknya mengakui isu kekurangan anggota mungkin akan memberi cabaran kepada jabatan itu, namun dalam masa sama pegawai dan anggotanya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang situasi.
Sementara itu, Siti Rohani yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat itu merupakan wanita kedua dalam sejarah negara yang menjawat jawatan Pengarah JBPM negeri, dan yang pertama buat negeri ini. – KOSMO! ONLINE