fbpx

Lelaki tunjal kepala pemandu wanita direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki yang dipercayai mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden berhampiran pusat rekreasi dekat Lata Iskandar semalam, direman tiga hari bermula hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

TAPAH – Lelaki yang dipercayai mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden berhampiran pusat rekreasi dekat Lata Iskandar di sini semalam, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Hanum Mohmad Shah di Mahkamah Majistret Tapah di sini.

Siti Hanum membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan reman lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor itu sehingga Jumaat ini.

Reman terhadap lelaki itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lelaki yang diiringi pegawai polis dan memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tapah pada pukul 8.35 pagi.

Menerusi rakaman video tular berdurasi 59 saat, seorang lelaki dipercayai suspek dilihat turun dari kereta Proton Persona dan mengetuk cermin kereta dipandu mangsa.

Wanita itu yang menurunkan cermin keretanya untuk berbincang telah dimarahi oleh suspek dengan kata-kata kesat sebelum dia bertindak memukul kepala mangsa.

Tangkapan ke atas lelaki terbabit dibuat susulan laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun itu semalam di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI