SHAH ALAM – Seramai 29 individu dipercayai ahli kongsi gelap 21 berjaya ditangkap kerana terlibat dalam kes tembakan seorang ahli perniagaan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting, Kuala Langat, September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, tangkapan tersebut dilakukan menerusi Ops Blackjack JSJ Selangor dan Bukit Aman pada mulanya menahan 19 suspek yang terlibat dalam aktiviti gengsterism serta jenayah terancang.
“Hasil siasatan kemudiannya menahan 10 lagi suspek dengan menjadikan keseluruhan 29 orang kesemuanya termasuk individu yang melepaskan tembakan tersebut.
“Kesemua yang ditahan berusia 25 tahun hingga 50-an dengan tindakan dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 27 Oktober lalu untuk menilai dan mengkaji bagi melaksanakan pertuduhan di bawah Jenayah Terancang ke atas kesemua suspek tersebut.
“Diharapkan kejayaan menuduh kesemua suspek nanti akan dapat mengekang dan seterusnya menghapuskan aktiviti-aktiviti berunsurkan gengsterism dan jenayah terancang sekitar Banting, Kuala Langat dan seterusnya di Selangor,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, Kuala Langat pada 25 September lalu gempar dengan kejadian tembakan yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal ke arah sebuah kereta mewah jenis BMW .
Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari yang turut disaksikan oleh orang awam itu mengakibatkan seorang pengawal peribadi dan seorang majikan yang masing-masing berusia 30an parah selepas terkena beberapa das tembakan.
Turut tercedera adalah tiga pelajar tingkatan enam sekolah berkenaan selepas dirempuh kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang hilang kawalan susulan tembakan tersebut.
Motif kejadian tersebut dipercayai ketidakpuasan hati kumpulan suspek selepas ahli perniagaan itu memperoleh kontrak pembinaan kilang dan pembersihan di daerah Kuala Langat. -K! ONLINE