fbpx

Jururawat terkilan tak dapat urus jenazah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Anuar

MEKAH – Seorang jururawat tidak menyangka perasaan sering teringat ibunya di kampung ketika sedang bertugas menjaga pesakit di Pusat Perubatan Tabung Haji di sini merupakan petanda bahawa wanita itu akan pergi buat selama-lamanya.

Khairul Anuar Ramli, 38, berkata, dia menerima berita duka mengenai kematian ibunya, Kamaliah Abd. Hamid, 69, kira-kira pukul 1 pagi (waktu tempatan) Sabtu lalu melalui pesanan di aplikasi WhatsApp oleh ahli keluarga dan isterinya.

Katanya, dia tidak sempat hendak melihat mesej itu pada waktu tersebut kerana terlalu keletihan selepas tamat waktu bekerja dan terus tertidur.

“Saya hanya lihat mesej itu pada pukul 4.30 pagi ketika hendak mengerjakan solat subuh. Dalam mesej itu isteri kata “abang kena kuatkan semangat kerana ibu sudah tiada” dan saya terus menangis.

“Pada masa sama saya terkilan kerana tak dapat hendak menguruskan jenazah ibu buat kali terakhir bersama adik-adik lain,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Khairul Anuar, dia hanya mampu menitipkan doa buat arwah ibunya semoga rohnya diterima Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga.

Mengimbau semula mengenai kejadian itu, Khairul Anuar berkata, dia dimaklumkan ketika itu ibunya muntah-muntah ketika dalam perjalanan untuk ke rumah adiknya di Ipoh, Perak.

“Sebaik sampai pada waktu malam arwah ibu muntah lagi dan adik terus membawanya ke Hospital Ipoh.

“Bagaimanapun ibu tak dapat diselamatkan apabila dia sesak nafas pada waktu subuh sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI