LONDON – Arsenal sekali lagi mengharapkan pengaruh pengurusnya, Mikel Arteta untuk menghadirkan rasa yakin buat pemain untuk sertai The Gunners termasuk bintang sensasi Manchester City, Ilkay Gundogan.
Daripada laporan, minggu depan menjadi detik paling penting dan Gundogan dijangka akan membuat keputusan masa depannya, sejurus tamat final Liga Juara-Juara sama ada kekal bersama The Citizens atau mencari pengalaman baharu.
Ketika ini, pemain berusia 32 tahun itu sedang menikmati detik cemerlang di Etihad apabila berjaya memainkan peranan besar untuk bantu Man. City memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Bagaimanapun, Gundogan mungkin akan melangkah keluar daripada Man City secara percuma memandangkan kontraknya bakal berakhir bulan ini.
Untuk peminat The Gunners juga, mereka mengharapkan hubungan antara Arteta dengan Gundogan mampu menjadi nilai tambah untuk bawa pemain dari Jerman itu ke Emirates.
Ketika ini juga, Gundogan sudah pun berjaya menarik minat kelab besar lain seperti gergasi Sepanyol, Barcelona, namun pengendali Man. City, Pep Guardiola masih lagi berhasrat untuk mengekalkan pemain itu di Etihad.
Arsenal pastinya akan mengikuti rapat perkembangan Gundogan dan langkah membawa masuk pemain ini pastinya menjurus untuk mengisi tempat Granit Xhaka yang dijangka akan sertai Bayer Leverkusen.
– AGENSI