JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berjanji akan memberikan kayuhan terbaik demi mempertahankan legasinya di hadapan para penyokong sendiri pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 minggu depan.
Kejohanan di Velodrom Nasional, Nilai dari 14 hingga 19 Jun ini amat penting buat Azizulhasni, 35, untuk memenangi pingat emas di laman sendiri selain memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bintang yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu juga pastinya mahu menebus kekecewaannya tidak beraksi edisi 2022 di New Delhi, India disebabkan masalah kesihatan dialaminya tahun lalu.
“Saya dah capai (menang) 10 pingat emas (ACC) tetapi bagi saya ini lebih mengenai memeterai legasi saya. Lagipun ini adalah penampilan terakhir saya di ACC, jadi tiada tekanan dan saya hanya mahu menikmatinya.
“ACC adalah kejohanan besar dan saya sentiasa mahu mencabar diri dengan pelumba-pelumba hebat terutama dari Jepun, China dan mereka yang sedang meningkat naik.
“Memandangkan kali ini di Malaysia, jadi saya mahu memberikan persembahan terbaik dan tunjukkan kepada semua penyokong kita nanti,” katanya.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Olimpik Rio 2016 itu secara keseluruhan telah memenangi 10 emas di pentas ACC sejak edisi 2007 di Bangkok, Thailand hingga 2020 di Jincheon, Korea Selatan.
Begitupun, pelumba berpengalaman dunia dari Terengganu itu tidak memandang rendah kemampuan pencabar-pencabarnya dalam misinya menutup karier ACC dengan kejayaan terindah di laman sendiri.
“Bukan kata takut tetapi berjaga-jaga. Walaupun saya tak risau sangat tetapi saya menghormati semua lawan saya, cuma saya tetap perlu fokus kepada diri sendiri,” jelas Azizulhasni.