SINGAPURA – Sebuah klip video tular di media sosial Singapura memaparkan seorang penunggang basikal dan pemandu kereta bergaduh di tepi sebatang jalan yang sibuk sehingga mengganggu lalu lintas, lapor portal berita Asia One semalam.
Klip video awal memaparkan seorang penunggang basikal wanita melompat ke atas bonet kereta Suzuki Swift yang sedang bergerak.
Dalam klip video susulan yang dikongsikan di laman Facebook Sabtu lalu, seorang penunggang basikal wanita dan pemandu kereta yang juga wanita dilihat bertengkar di tepi jalan East Coast Road, Katong.
Tidak lama selepas itu, penunggang basikal dilihat bercakap dengan kuat menggunakan telefon bimbit sambil membuat isyarat ke arah pemandu kereta yang ketika itu masuk ke dalam kenderaannya.
Ketika kereta itu mula bergerak, penunggang basikal secara tiba-tiba melompat ke atas bonet hadapan dan berpaut dengan kuat.
Keterangan pada video itu menyebut penunggang basikal menjerit sambil berpaut pada bonet kereta.
“Pemandu membelok keretanya di tempat menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah dan drama itu berakhir dari sudut pandangan saya,” kata keterangan pada video berkenaan.
Tidak dijelaskan sama ada penunggang basikal masih berada di atas bonet kereta ketika itu.
Menurut seorang pengguna media sosial yang mendakwa berada di lokasi kejadian, penunggang basikal memarahi pemandu kereta kerana memotong basikalnya semasa hendak membelok.
Namun, terdapat juga pengguna yang menyalahkan penunggang basikal itu dengan menyifatkan dia bertindak secara agresif.
“Penunggang basikal yang agresif. Alangkah bagus kalau pemandu kereta menekan brek kecemasan,” kata netizen yang lain.
Dalam perkembangan terkini, polis mengesahkan telah menahan kedua-dua wanita berkenaan yang masing-masing berusia 31 dan 49 tahun. – AGENSI