HULU TERENGGANU – Cuaca panas yang sedang melanda negara telah memaksa kira-kira 20 keluarga Orang Asli suku Semaq Beri di Kampung Berua di sini berpindah sementara ke dalam hutan berhampiran sejak tiga bulan lalu.
Ketua kumpulan Orang Asli itu, Hitam Keladi, 60, berkata, mereka membawa keluarga masing-masing termasuk anak-anak kecil membina khemah di kawasan hutan di sekitar Tasik Kenyir di sini.
“Rumah di Kampung Berua diperbuat daripada konkrit dan suasana di dalam rumah sangat panas. Kami memutuskan membawa ahli keluarga dan haiwan peliharaan berpindah sementara di dalam hutan.
“Suasana di dalam hutan ini lebih selesa dan nyaman selain udaranya segar. Sumber makanan seperti ikan juga mudah ditangkap di dalam tasik,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Seorang penduduk Orang Asli lain, Sahak Samad, 41, berkata, dia memutuskan untuk berpindah ke dalam hutan demi keselesaan dan kesihatan ahli keluarganya.
“Nenek moyang kami percaya hutan mempunyai ‘tenaga’ tersendiri bagi membantu mengekalkan kesihatan.
“Selain udara segar, saya dan ahli keluarga mudah berendam di dalam tasik dan sungai berhampiran sekiranya berasa panas,” ujarnya.
Esah Desoh, 60, pula berkata, dia dan ahli keluarganya berhasrat terus kekal di dalam hutan tersebut selagi cuaca panas melanda negara.
Jelasnya, dia percaya ramai lagi penduduk Orang Asli Kampung Berua akan turut memasuki hutan pada masa terdekat sekiranya cuaca panas ini berterusan.
“Sesekali anak saudara perempuan saya akan keluar hutan untuk pulang mengemas rumah kami,” katanya.