PUTRAJAYA – Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim ditamatkan hari ini susulan masalah dihadapi dron.
Pengurus misi ME2023, Ayu Wanirah Naharudin ketika dihubungi hari ini berkata, misi SAR itu sepatutnya berakhir esok, namun ia terpaksa dihentikan berikutan dron yang digunakan gagal menerima gambar dan video dirakam.
Beliau berkata, pihaknya menerima berita itu petang semalam daripada Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak yang kini berada di Everest Base Camp (EBC).
“Masalah ini mungkin berpunca dari faktor cuaca sejuk menyebabkan dron berkenaan sukar untuk berfungsi dengan baik selepas tiga hari digunakan.
“Ketika ini, saya bersama seorang pendaki ME2023, Tiong Ling Yang sudah berada di Kathmandu bagi meneliti gambar dan video yang dihantar.
“Gambar dan video itu akan diteliti menggunakan skrin besar bagi mendapatkan sebarang petunjuk sepanjang operasi SAR itu diadakan,” katanya.
Ujarnya, dua dron yang digunakan dalam operasi SAR ini adalah dari jenis DJI Matrice 300 RTK dan DJI Mavic 3 yang dibawa dari Malaysia.
Ayu Wanirah berkata, pasukan operasi SAR diketuai Azim bersama seorang jurugambar dan dua malim gunung dijangka pulang ke Kathmandu hari ini.
Menurutnya, selain berdepan masalah dron, syarikat pengendali helikopter yang dilantik turut memanggil pulang juruterbangnya untuk pulang ke negara asal di Jerman.
“Bagaimanapun, kami akan terus meneliti gambar dan video yang telah dirakam dan sekiranya mendapat petunjuk akan melakukan sesuatu dengan menerima nasihat dan pandangan dari semua pihak termasuk pihak berkuasa Nepal dan Kedutaan Malaysia di Nepal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE