GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang komited membanteras kegiatan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long secara besar-besaran bermula hari ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi tersebut membabitkan seramai 112 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
“Operasi memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram ini akan dilakukan secara berterusan di lima daerah negeri ini.
“Polis sedaya upaya menghapuskan terus kumpulan ah long ini terutamanya yang menggunakan kekerasan, memang saya tidak akan berkompromi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan tiga jabatan utama pasukannya bagi mengesan suspek yang terlibat menghantar surat berunsur ugutan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi yang sedang giat berjalan itu melibatkan JSJ, JSJN dan JSJK. – KOSMO! ONLINE