NILAI – Gara-gara kelewatan bajet, skuad berbasikal trek negara tidak dapat membangunkan bentuk basikal dengan teknologi baharu yang akan digunakan pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Perkara tersebut didedahkan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley selepas mengakui pihaknya sudah terlambat untuk menghasilkan model basikal baharu seperti rancangan asalnya berikutan kelewatan bajet.
Difahamkan, semua pelumba seluruh dunia perlu mendaftarkan basikal baharu mereka dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Ogos dan menggunakannya pada Kejohanan Dunia Glasgow dari 3 hingga 13 Ogos untuk layak digunakan di Paris tahun depan.
“Basikal yang akan digunakan pelumba Malaysia agak sama sebelum ini. Kita akan lihat sedikit perubahan pada struktur reka bentuk basikal. Kami akan lihat bagaimana kita boleh menjadikannya lebih kuat, ringan dan lebih aerodinamik.
“Benar, kita akan gunakan acuan yang sama seperti basikal sebelum ini. Kami tiada pilihan kerana tidak mempunyai masa yang mencukupi. Soal kelulusan bajet, kami hanya ketahui pada Februari tahun ini.
“Sebelum ini soal bajet telah diluluskan awal dan ia berdepan kesukaran untuk diluluskan kerana ia mengambil masa kira-kira 12 bulan. Masalah terbesar yang kami alami ialah dari segi penyelidikan dan pembangunan seperti melakukan simulasi.
“Untuk membangunkan jentera baharu ia akan mengambil beribu-ribu jam ujian terutama mencari kombinasi yang betul untuk meningkatkan prestasi,” katanya ketika ditemui di Velodrome Nasional, Nilai hari ini.
Sebelum ini, Malaysia membangunakan basikal teknologi tinggi Vorteq WX-R buat Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan hasilnya, Azizulhasni memenangi pingat perak acara keirin.
Basikal Vorteq WX-R digunakan Azizulhasni dan Shah Firdaus pada Tokyo 2020 sebelum ini menjadi bualan kerana dibangunkan dengan kajian dan pembangunan (R&D) mencecah RM13 juta, malah sebuah basikal dikatakan bernilai RM300,000. – KOSMO! ONLINE