fbpx

Pengiktirafan besar buat perjuangan Islam Allahyarham Nik Abdul Aziz – Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Sabariah menerima Darjah Kebesaran PSM mewakili Allahyarham Nik Abdul Aziz di Istana Negara, hari ini.

PETALING JAYA – Penerimaan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan pengiktirafan besar terhadap perjuangan beliau bersama Pas sehingga ke akhir hayat dalam memperjuangkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini.

Pas dalam kenyataannya mengimbas kembali sepanjang 48 tahun Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz terlibat dalam politik sejak 1967 dan 23 tahun sebagai Menteri Besar Kelantan yang sangat dikagumi.

“Antara perubahan besar yang dibuat beliau adalah dengan memperkasakan sistem ekonomi Islam di Kelantan.

“Tindakan yang telah dibuat seperti memindahkan semua simpanan tetap negeri daripada bank konvensional kepada Bank Islam Malaysia Berhad serta mengasingkan akaun negeri dan pengagihan kepada sumber pendapatan yang halal dan haram.

“Seterusnya, melaksanakan sistem pajak gadai Islam Arrahnu yang kemudian dicontohi dan diterima pakai oleh Bank Rakyat, memperkenalkan skim pembiayaan Islam untuk kakitangan negeri bagi pembelian rumah dan kenderaan serta menjual semua saham tidak patuh syariah berjumlah RM2.25 juta,” kata hantaran itu pada Facebook hari ini.

Menurut kenyataan Pas, semua pendekatan beliau jika diletak pada zaman tersebut adalah satu tindakan yang sangat berani dan melawan arus corak pentadbiran sedia ada sebelumnya.

“Namun hasil usaha tersebut, Kelantan berjaya memiliki kedudukan kewangan yang selesa, tidak berhutang dan berjaya bayar semua hutang kerajaan pusat yang ditinggalkan BN sebelumnya.

“Kejayaan itu telah dikaji oleh pakar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dibentangkan pada tahun 1999 untuk dikembangkan ke peringkat pelaksanaan kerajaan pusat,” kata hantaran itu.

Selain itu dalam aspek kebajikan juga, kerajaan pusat telah mengikut jejak langkah Kelantan yang memperkenalkan cuti bersalin 60 hari.

“Sifat rahmah beliau kepada bukan Islam di Kelantan adalah dengan menggazetkan rumah ibadat dan tanah perkubaran Buddha sebagai menjunjung perlembagaan yang memberi hak kebebasan beragama kepada bukan Islam.

“Bahkan terlalu panjang untuk disenaraikan setiap satu pendekatan prinsip Islam yang dibawa di Kelantan dan menjadi bukti keberhasilan dasar ‘Membangun Bersama Islam’,” ujarnya.

Sehubungan itu, ujar kenyataan itu, layaklah gelaran Tan Sri buat Allahyarham Nik Abdul Aziz atas segala jasa dan keringat yang ditumpahkan sepanjang hayatnya bukan sahaja buat negeri Kelantan, tetapi juga buat Malaysia.

“Menjunjung kasih Tuanku atas pengiktirafan dan penghargaan besar buat tokoh pejuang Pas,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz tersenarai antara penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran PSM sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur pagi tadi.

Darjah Kebesaran PSM itu kepada beliau diwakili oleh isterinya, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI