JAKARTA – Seorang wanita di Jakarta Selatan dilanggar teman lelakinya dari arah belakang menggunakan sebuah motosikal kerana pelaku cemburu melihat mangsa menyanyi dalam satu majlis, lapor laman berita Suara.com semalam.
Berdasarkan klip video mengenainya, insiden berlaku selepas mangsa menyanyi di sebuah acara anjuran syarikat tempat dia bekerja.
Suspek yang muncul semasa acara di sebuah kafe itu melihat mangsa menyanyi bersama rakan-rakannya. Dia pun melambai tangan ke arah teman wanitanya.
Mangsa bagaimanapun dikatakan tidak membalas lambaian itu kerana gagal mengecam wajah teman lelakinya.
Disebabkan itu, suspek cemburu dan bertengkar dengan mangsa di kafe berkenaan.
Mangsa kemudian meninggalkan premis itu dan tanpa disedari, dia diekori oleh suspek. Suspek yang menunggang motosikal bertindak melanggar teman wanitanya dari arah belakang. Mangsa terjatuh ke atas jalan dan mengalami luka-luka.
Suspek dikatakan berpura-pura membantu mangsa dan membawanya ke hospital.
Sementara itu, Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Selatan, Ajun Komisioner Besar Polis Irwandhy berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes itu dan akan melakukan siasatan. – AGENSI