BEIJING – Seorang lelaki di China menghantar wang tunai 9.98 juta yuan (RM6.4 juta), jongkong emas dan jam tangan mewah ke rumah tunangnya dengan menggunakan trak berperisai sebagai hantaran, lapor laman berita SindoNews.
Kejadian di Zhejiang pada Selasa lalu itu tular di media sosial China.
Beberapa rakaman menunjukkan wang tunai dan barangan mewah itu dihantar dalam enam peti besi berwarna merah oleh empat pengawal peribadi.
Wang tunai yang tiba di rumah berkenaan kemudian dihantar ke bank untuk dimasukkan ke dalam akaun tunangnya.
Menurut akhbar Global Times, hantaran mahal itu menimbulkan perasaan cemburu dan kecaman oleh netizen.
“Ini adalah adat tempatan, sangat biasa di Taizhou,” kata lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Yan, 30, merujuk kepada bandar di wilayah Zhejiang tempat dia dan tunangnya tinggal.
Yan menambah bahawa dia dan tunangnya merancang untuk berkahwin akhir tahun ini. – Agensi