BANGKOK – Seorang wanita Thailand yang berkahwin dengan bilionair dari Dubai mendedahkan bahawa dia menerima nafkah sehingga 1.7 juta dirham (RM2.1 juta) sebulan daripada suaminya, lapor laman berita Wolipop kelmarin.
Meskipun menjadi isteri kelima hartawan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), wanita bernama Muna Al Sarunee itu mengakui ‘tugas’ hariannya kini hanya perlu mencantikkan diri dan menghadiri majlis bersama suaminya.
Menurut Muna, dia sebelum ini pernah berkahwin dengan lelaki lain dan memiliki dua cahaya mata dalam perkahwinan pertama.
Selepas bercerai, wanita itu bekerja keras sebelum bertemu suami terkininya, Ahmed Nu Al Sarunee pada 2010.
Meskipun mengetahui Ahmed seorang hartawan, Muna berkata, dia tidak tertarik kepada lelaki itu sama sekali ketika mula berkenalan, berbeza dengan Ahmed yang menyukai sikapnya yang berdikari serta tabah.
Selepas menjalinkan hubungan cinta jarak jauh selama empat tahun, mereka berkahwin ketika usia Muna hampir 60 tahun.
Wanita itu dijadikan isteri kelima Ahmed dengan keempat-empat madunya hidup bersama di bawah satu bumbung di UAE.
Selepas berkahwin dan berhijrah ke Dubai, Muna tidak dibenarkan bekerja, sejajar dengan tradisi golongan hartawan di Dubai selain perlu mematuhi peraturan keluarga suaminya.
“Dalam keluarga Ahmed, banyak peraturan perlu diikuti. Antaranya adalah setiap kali menyertai aktiviti sosial atau sekadar bersarapan, semua anggota keluarga perlu memakai berlian, perhiasan, bersolek dan memakai pakaian mewah,” ujarnya.
Tambah Muna, selain diberikan wang nafkah sebanyak 1.7 juta dirham (RM2.1 juta) setiap bulan, dia turut dibantu oleh 16 pelayan untuk menguruskan kehidupannya setiap hari selain 20 pengawal yang menjaganya.
“Tugas harian saya adalah bersolek, berbelanja, pergi ke spa dan menemani suami menghadiri acara orang kaya. Saya sangat berpuas hati dengan kehidupan masa kini.
“Setiap hari saya tidak perlu melakukan apa-apa selain berpakaian cantik untuk dilihat suami,” ujarnya.
Muna bagaimanapun menetapkan syarat kepada suaminya, di mana sekiranya lelaki itu ingin berkahwin lagi, dia perlu menceraikan Muna. – Agensi