KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berharap Belanjawan 2021 yang diumumkan esok membolehkan kementerian itu membantu memperkukuhkan penggiat industri sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, industri sektor pelancongan, seni dan budaya yang kukuh menyokong pemulihan ekonomi negara pada masa depan.
“MOTAC yakin sektor pelancongan, seni dan budaya bersedia dan menjadi penggerak utama kepada pembangunan ekonomi secara menyeluruh.
“Ini adalah rantaian ekonomi yang amat besar merentasi pelbagai segmen ekonomi seperti penginapan, pengangkutan darat, laut dan udara, makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset warisan seni budaya serta pengurusan acara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nancy berkata, MOTAC akan mempergiatkan usaha meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam
merancakkan industri pelancongan, seni dan budaya dengan pembangunan pusat data raya.
Menurut beliau, ia bagi membantu pemasaran dan promosi produk serta perkhidmatan berkaitan pelancongan, seni, budaya dan warisan.
Uajrnya, kemudahan infrastruktur pelancongan, program ‘outreach’, ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ juga adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan oleh MOTAC.
“Kementerian akan mempelbagaikan lagi produk pelancongan sama ada dari segi produk fizikal serta yang
berbentuk kesenian dan kebudayaan.
“MOTAC akan meningkatkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan serta penggiat industri ini bagi menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang lestari dan kaya budaya,” katanya. – K! ONLINE