fbpx

Isu kalimah Allah bakal jadi polemik berlarutan, jika gagal diselesaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah yang jika gagal diselesaikan segera, bakal menjadi polemik berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan kesejahteraan negara.

Baginda bertitah, polemik penggunaan kalimah Allah bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, malah ia berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

“Kerajaan beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa sama, meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul. Dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai Ketua Agama Islam.

“Prinsip pertama Rukun Negara adalah kepercayaan kepada Tuhan. Konsep beragama amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan agama tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

“Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera. Ia menuntut jalan penyelesaian yang bijak, penuh kesantunan serta semangat bertolak ansur dan akomodasi yang tinggi,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah pada Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani segera, umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

Titah baginda, berhadapan dengan isu sensitif seperti ini, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan bijak, tertib dan disulami semangat toleransi yang tinggi.

“Menelusuri lipatan sejarah, ketinggian dan kesucian agama Islam telah sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia yang merdeka, sehingga agama Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama persekutuan di dalam Fasal 1, Perkara 3: Kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperolehi kemerdekaan.

“Ia merupakan kesepakatan yang tercatit dalam lipatan sejarah bagi menentukan normah hidup bermasyarakat pasca kemerdekaan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI