IPOH – Pasangan suami isteri antara tiga individu yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan berasingan di Sitiawan dan Kampar, semalam.
Tangkapan ke atas kesemua suspek warga tempatan berusia 28, 29 dan 36 tahun itu membawa rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM103,362.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Sitiawan pada pukul 12.05 tengah malam membawa kepada tangkapan suami isteri bersama rampasan 7,042 gram dadah jenis heroin dan 3,058 gram ganja.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati negatif dadah dan mereka juga tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Berdasarkan siasatan, suami isteri itu aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan, tujuh utas rantai, enam bentuk cincin, empat pasang anting-anting dan satu bentuk subang hidung dengan nilai keseluruhan RM72,332.60,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE