PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan keluarganya mendoakan agar pemerintahan Seri Paduka Baginda bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T.
“Turut didoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta putera-putera, puteri-puteri dan kaum kerabat Seri Paduka Baginda berdua.
“Sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah dan seluruh naungan Tuanku mendapat limpahan manfaat atas kebijaksanaan Tuanku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil turut menyampaikan ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong melalui akaun Facebook beliau pagi ini. – KOSMO! ONLINE