SEPANG – Gergasi e-Sukan tanah air, Todak bersedia mengharumkan nama negara dengan mencabar kejuaraan Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2023 di Phnom Penh, Kemboja dari 10 hingga 18 Jun ini.
Barisan pemain Todak kelihatan begitu bersemangat dan bermotivasi untuk menjuarai kejohanan diadakan di Aeon Mall Mean Chey itu sekali gus menjadi pasukan pertama Malaysia melakukannya sejak MSC dipertandingkan pada 2017.
Keyakinan itu dapat dilihat daripada riak wajah barisan pemain dan pasukan Todak sewaktu majlis ‘Send Off’ anjuran kersama Esports Integrated (ESI) dan Moonton di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Todak turun dengan gelaran juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia Musim 11 selain beberapa pemainnya mewakili Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan ESI sentiasa komited dan menyokong atlet-atlet yang mewakili bendera kita. Kami amat berbangga dan berharap dapat melihat aksi yang terbaik daripada mereka pada MSC 2023.
“Para pemain telah membuktikan diri mereka berbanding musim lalu dan menunjukkan peningkatan untuk melakar pencapaian baharu. Sama-sama kita menyokong perjuangan mereka di Kemboja,” kata Naib Presiden Operasi dan Pembangunan ESI, Fadzli Rahim.
Sementara itu, Ketua MPL Malaysia, Siew Hao Zhen terharu dengan penghormatan luar biasa daripada KBS dan ESI yang berkongsi sokongan demi pemain-pemain Mobile Legends kebangsaan.
Todak yang berlepas ke Kemboja hari ini, akan berdepan wakil Filipina, Blacklist International dan Team Occupy dari Mesir dalam saingan Kumpulan D.
Selain Mesir, dua pasukan luar Asia Tenggara iaitu Outplay dari Amerika Utara dan Fireflux Impunity (Turki) turut dijemput menghangatkan saingan MSC 2023.
Baki pasukan yang akan berentap adalah seperti ONIC Esports (Indonesia), EVOS Legends (Indonesia), ECHO (Filipina), RSG Slate SG (Singapura), BURN x FLASH (Kemboja), Fenix Esports (Myanmar) dan Team EVO (Laos). – KOSMO! ONLINE