NEW DELHI – Sepasang pengantin baharu di India ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung pada masa yang sama, sehari selepas majlis perkahwinan mereka berlangsung, lapor laman berita Wion News semalam.
Mayat Pratap Yadav, 24, dan isterinya, Pushpa Yadav, 22, ditemui di rumah mereka pada pagi Khamis lalu di kampung Godhiya.
Siasatan mendapati pasangan itu tidak mempunyai sejarah masalah jantung.
Menurut polis, mereka mungkin mengalami sesak nafas ketika tidur di dalam bilik yang kurang pengudaraan lalu menyebabkan serangan jantung.
“Walaupun tiada tanda pecah masuk atau kesan kecederaan pada badan pasangan itu, laporan bedah siasat mendapati mereka mengalami serangan jantung pada masa yang sama.
“Kami sedang menyediakan garis masa bagi setiap perkara yang dilakukan pasangan itu sehari sebelum kematian mereka dan apa yang mereka makan.
“Selain itu, sepasukan pakar forensik memeriksa bilik itu untuk mencari punca kematian mereka,” kata inspektor di balai polis Kaiserganj, Rajnath Singh. – Agensi