PETALING JAYA – Seorang bapa cemas apabila sering melihat anak sulungnya bermain tepuk amai-amai didakwa entiti di rumah mereka dalam video yang dikongsi di media sosial baru-baru ini.
“Astaghfirullah, petang ini jadi lagi pada anak sulung saya. Allahuakhbar, ya Allah selamatkan anak sulung hambaMu ini, sesungguhnya engkaulah maha mendengar doa hambaMu ini,” doanya di kapsyen.
Menerusi video klip yang dimuat naik di akaun TikTok pemilik Aries82 memperlihatkan anaknya mengakui sedang bermain dengan ‘kawan’.
Lebih merisaukan anaknya memberitahu makhluk itu berjantina lelaki dan mempunyai rupa yang hodoh di samping menunjuk ke arah mesin basuh yang diduduki kawannya itu.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berasa risau dan mencadangkan pemilik supaya berikhtiar dengan segera.
“Kesian budak lelaki pucat dah itu, bila ayah dia tegur jadi ketakutan. Takut hilang kawan dia. Tanya buruk ke cantik dia tunduk,” komen Sitinormadiahchej.
“Cuba pergi cari ustaz yang boleh tutup hijab matanya, anak saya dulu begini, main dalam gelap dengan ‘kawan’, bercakap dengan haiwan, ustaz kata hijab terbuka,” komen Lyssa Ani.
“Kasihan lah, cuba cari ustaz mana tahu dia boleh terubatkan. Saya pernah kena dulu,” cadang Nfsm.
“Jangan dibiar lama sangat bang, kena pergi bawa berubat cepat-cepat ini,” nasihat Gab. – KOSMO! ONLINE