fbpx

KSM, Perkeso lancar Kempen Ambil Pekerja Lokal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (tengah) menyerahkan sijil penghargaan kepada majikan yang menyertai Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Butterworth Arena hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Kempen Ambil Pekerja Lokal bagi menggalakkan pengambilan pekerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Kempen terbabit adalah program susulan daripada inisiatif Malaysianization yang dilaksanakan dari tahun 2021 untuk menggalakkan majikan mengajikan tenaga kerja tempatan bagi jawatan yang sebelumnya disi pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, majikan diseru bekerjasama dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan khusus buat pekerja tempatan.

“Kempen ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan majikan dapat menggajikan anak-anak watan sekali gus mengelakkan daripada terlalu bergantung kepada pekerja asing.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, maka kita perlu perkasakan mereka bermula daripada sekarang,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Negeri Pulau Pinang di Butterworth Arena, di sini hari ini.

Pada masa sama, KSM dan PERKESO juga menyokong Projek Reben Kuning yang memberi ruang kepada bekas banduan, terutama belia dan bekas pelajar juvana untuk memperoleh pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, karnival kerjaya MYFutureJobs yang berlangsung selama dua hari itu menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan yang menawarkan gaji bulanan sehingga RM9,500 daripada 56 majikan yang mengambil bahagian.

“Sehingga tengah hari tadi, seramai 552 individu berjaya ditawarkan jawatan ‘on the spot’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI